Pages

Sejarah SMK Cenderawasih




SEJARAH SMK CENDERAWASIH

Sekolah Menengah Kebangsaan Cenderawasih mula beroperasi secara rasmi pada 1 Jun 2003 apabila seramai 34 orang guru telah mendaftarkan diri dengan diketuai oleh seorang guru Penolong Kanan Pentadbiran, En Mohammad Rosli Bin Abdul Rahman.

Pendaftaran pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Empat (Aliran Sastera) serta Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru telah diadakan pada 31 Mei 2003. Manakala pendaftaran Tingkatan 6 Rendah (Aliran Kemanusiaan) pula diadakan pada 16 Jun 2003.

Sekolah ini terdiri daripada empat blok bangunan tiga tingkat yang dilabelkan sebagai Blok A, Blok B, Blok C dan Blok D dan terdapat 24 buah bilik darjah di dalamnya. Lokasinya ialah di bandar Indera Mahkota yang jaraknya lebih kurang lima kilometer dari bandar Kuantan.

Pada peringkat awal penubuhannya seramai 596 orang murid telah mendaftar di sekolah ini. Sebagai permulaannya, sebanyak 18 buah kelas telah dibuka yang terdiri daripada tujuh buah kelas Tingkatan 1, enam buah kelas Tingkatan 2, tiga buah kelas Tingkatan 4 dan dua buah kelas TIngkatan 6 Rendah.

Pembukaan kelas Tingkatan 6 Rendah pula bertujuan memberi peluang kepada pelajar-pelajar luar bandar terutamanya dari FELDA Bukit Goh, FELDA Bukit Kuantan, Sungai Lembing dan Bukit Kuin untuk mereka berulang-alik ke sekolah ini yang dikira paling hampir dengan rumah berbanding sekolah-sekolah lain di bandar Kuantan.

Selain daripada kemudahan bilik darjah, sekolah ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti Pejabat Pentadbiran, Bilik Guru, Bilik Gerakan, Pusat Sumber Sekolah, Bilik Media, Bilik Bimbingan dan Kaunseling, Koperasi Sekolah dan Kantin.

Pada 16 April 2004, En Moy Wah Goon telah dilantik sebagai Pengetua pertama SMK Cenderawasih, En Mohammad Rosli Bin Abdul Rahman sebagai Guru Penolong Kanan Pentadbiran sementara Pn Ani Bt Embong sebagai Penolong Kanan HEM, En Mohd Fakri Bin Abdullah sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum dan En Dahari Bin Ahmad sebagai Penyelia Petang.