Program ‘English Teaching Asisstant’ atau ringkasannya ETA adalah satu program kolaborasi antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Amerika Syarikat. Program ini bertujuan meningkatkan penguasaan dan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid. Pelaksanaan program ini adalah satu lagi usaha kerajaan untuk merealisasikan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Program ETA ini dilaksanakan secara kerjasama antara Kementerian Pelajaran Malaysia dengan Pihak Malaysian-American Commission on Educational Exchange (MACEE). Dalam perkara ini, MACEE akan mengurus pemilihan ETA yang akan mengikuti program ini manakala Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), Bahagian Perancangan dan Penyelidian Dasar Pendidikan, Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa, Bahagian Pendidikan Guru, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah akan terlibat dalam program ini.
Untuk tujuan tersebut, sekolah-sekolah menengah dan rendah khususnya yang berada di Band 6 dan 7 di bawah penilaian program NKRA serta berprestasi rendah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris akan dipilih untuk mengikuti program ini selama setahun. Pelbagai aktiviti pembelajaran Bahasa Inggeris akan dilaksanakan oleh ETA bagi meningkatkan minat murid untuk menguasai Bahasa Inggeris dengan lebih baik. Program ini diyakini dapat member impak yang positif terhadap warga sekolah berdasarkan pelaksanaan program yang telah berjalan dengan baik di Terengganu semenjak tahun 2006.
Objektif Program ETA adalah untuk:
- Meningkatkan minat murid terhadap Bahasa Inggeris dan seterusnya menambahbaik penguasaan mereka terhadap mata pelajaran berkenaan.
- Meningkatkan keyakinan dan keupayaan murid untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.
- Menggalakkan murid mengambil bahagian secara aktif dalam proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) dan aktiviti kokurikulum Bahasa Inggeris di sekolah.
- Memperluas ruang dan peluang untuk murid menggunakan Bahasa Inggeris dalam bilik darjah dan semasa aktiviti-aktiviti sokongan Bahasa Inggeris di luar bilik darjah.